Cara Hidup Islam Part 4


 SISTEM AKHLAQ

Perasaan akhlaq adalah perasaan semulajadi yang mana Allah menciptakan
manusia bersama dengannya. Kerana itu manusia terdorong untuk menggemari
setengah-setengah sifat kemanusiaan dan membenci setengah-setengah sifat
yang lain. Perasaan ini, meskipun berbeza-beza dan berlebih kurang kadarnya di
antara berbagai-bagai individu manusia, namun perasaan bersama (common
sense) - tanpa memandang kepada individu secara perseorangan masih terus
menghukum setengah-setengah sifat tingkah laku sebagai sifat-sifat yang baik,
dan setengah-setengah sifat yang lain pula sebagai sifat-sifat yang buruk.
Kebenaran, amanah, keadilan dan kesetiaan dengan janji umpamanya, adalah
sifat-sifat yang digolongkan oleh manusia ke dalam sifat-sifat tingkah laku yang
layak dipuji dan disanjung dalam setiap peringkat zaman. Tetapi tidak pernah
datang kepada manusia satu waktu di mana dia memandang baik kepada
pembohongan, kezaliman, penipuan dan pengkhianatan. Begitu juga tentang
tolong-menolong, berkasih sayang, bermurah hati, berlapang dada dan bertolak
ansur, semuanya diberi penghargaan serta dijunjung tinggi oleh manusia di
segenap waktu dan zaman. Sebaliknya sifat-sifat keakuan, degil, kikir dan
berpandangan sempit itu tidak pemah dianggap oleh manusia sebagai sifat-sifat
yang patut diberi penghormatan dan penghargaan. Manusia juga masih terus
memulia dan memandang tinggi kepada sifat-sifat sabar, cermat, tabah, lemah
lembut, keberanian dan ketinggian cita-cita. Tetapi dia menghina dan
memandang rendah kepada sifat-sifat gopoh, terburu-buru, tidak tetap pendirian,
dayus dan lemah cita-cita. Manusia masih lagi menganggap sifat-sifat menahan
diri, menjaga maruah, berkelakuan baik dan suka bermesra dengan orang lain itu
di antara perangai-perangai yang indah. Tetapi sifat-sifat suka mengikut
kehendak nafsu, tidak pemalu, kurang sopan dan berkelakuan tidak senonoh itu,
tidak mempunyai tempatnya di dalam lingkungan perangai-perangai yang
dimuliakan oleh manusia. Seterusnya manusia masih lagi memuliakan sifat-sifat
menjalankan tugas dengan sempurna, menunai janji, cergas dalam bekerja dan
menyedari tanggungjawab. Tetapi dia tidak bersimpati kepada orang-orang yang
meringankan tugas, tidak menunai janji, pemalas dan tidak serius bekerja dan
tidak mempedulikan tanggungjawab yang terletak di atasnya.
Semua itu adalah merupakan sifat-sifat peribadi dan perseorangan sahaja. Ada
pun hal-hal kemasyarakatan, baik dan buruknya, juga sifat-sifat masyarakat yang
terpuji dan terkeji, maka segala-galanya dipandang oleh manusia dengan
pandangan yang sama dan ditimbangkan dengan neraca yang satu. Tidak pernah
diketahui masyarakat manusia yang patut disanjung dan dihormati, kecuali
masyarakat yang mempunyai pentadbiran yang baik dan sistem yang sempurna;
masyarakat yang diratai oleh gotong-royong, saling memikul tanggungjawab,
kasih mengasihi, nasihat menasihati, keadilan sosial dan persamaan di antara
sekelian manusia. Sebaliknya manusia tidak memandang dengan kagum dan
hormat kepada masyarakat yang diselubungi oleh gejala-gejala perpecahan,
kacau bilau dan porak peranda; masyarakat yang dikelilingi di segenap
penjurunya oleh dendam kesumat, hasad dengki, kezaliman, perbalahan dan
persaingan di antara sesama para individunya.
Begitulah juga halnya dengan perangai-perangai serta tabiat-tabiat manusia,
baiknya dan buruknya, masih tetap seperti zaman-zaman yang telah lalu.
Perbuatan-perbuatan mencuri, berzina, membunuh, menipu, menerima rasuah,
mencarut, mencerca, megumpat, mendengki, membuat tuduhan-tuduhan palsu
dan melakukan perkara-perkara yang merosakkan di bumi ini, tidak pernah
dipandang orang dengan pandangan yang memuja dan memuji. Tetapi membuat
baik kepada ibu bapa, berbakti kepada adik beradik, menghormati jiran tetangga,
membantu kawan rakan dalam perkara-perkara baik, memberi perhatian kepada
anak-anak yatim serta fakir miskin, menziarahi orang sakit, menolong orang
malang dan susah, semua itu dipuji dan disanjungi oleh manusia sepanjangpanjang
masa. Begitu juga orang tidak pernah menghormati dan memuliakan
pengkhianatan, sikap bermuka-muka, berpura-pura, terlalu meminta-minta dan
sikap gelojoh. Tetapi mereka menghormati dan memandang tinggi kepada sopan
santun, cakap yang manis, gerak geri yang lemah lembut, suka memberi nasihat
dan punya amanah.
Pendeknya, manusia tidak memandang baik dan tidak menghormati kecuali
orang-orang yang bercakap benar, yang boleh diharap dan dipercayai dalam
segala hal. Orang-orang yang serupa sahaja lahirnya dengan batinnya, yang sama
sahaja perbuatan-perbuatannya dengan kata-katanya, orang-orang yang
memadai dengan hak serta habuannya, orang-orang yang berlumba menunaikan
hak-hak dan tanggungjawab- tanggungjawab mereka kepada orang lain,
orang-orang yang hidup dengan penghidupan yang aman damai, yang tidak
mengganggu orang lain, orang-orang yang tidak diharapkan daripada mereka
selain daripada kebaikan dua kebijaksanaan.
Dari yang demikian itu, ternyatalah bahawa prinsip-prinsip akhlaq itu adalah
merupakan hakikat-hakikat yang tetap dan bercorak internasional, yang mana
masih dikenali oleh manusia. Kebaikan dan kejahatan tidaklah tersembunyi
sehingga seseorang perlu mencarinya bila mana dia mahu mengetahui serta
menelitinya. Tetapi kedua-duanya adalah di antara perkara-perkara yang telah
diketahui oleh Bani Adam sejak pertama kali lagi. Allah telah menganugerahkannya
rasa dengan kedua-duanya dan telah perbekalkannya dengan tabiat
semulajadi atas perasaan tersebut. Oleh itu kita lihat Al-Quran menamakan
kebaikan itu dengan 'al-ma'ruf’ (yang termaklum) dan menamakan kejahatan
dengan 'al-mungkar' (yang dibantahi). Apa yang dimaksudkan oleh Al-Qur'an
ialah, bahawa al-ma'ruf itu ialah yang diketahui oleh manusia dan yang digemari
serta disukainya, dan bahawa al-mungkar itu ialah yang dibantahi, dicemuh dan
dipandang jijik oleh manusia. Di dalam pengertian beginilah Al-Quran
mengatakan;

"Maka diilhamkan akan (diri) yang jahatnya dan yang
taqwanya". (Surah As Syams, ayat 8)

Barangkali para pembaca tertanya-tanya dalam hal ini: Jika kebaikan dan
kejahatan tingkah laku itu sudah termaklum dan diketahui orang, dan jika para
penghuni dunia ini sudah bersatu pendapat tentang kebaikan setengah-setengah
sifat dan keburukan setengah-setengahnya yang lain, maka apakah gunanya
berbagai-bagai sistem akhlaq itu diwujudkan di dunia ini? Apakah bukti yang
menjadi sandaran kita bila kita katakan, bahawa Islam mempunyai satu sistem
akhlaq yang tersendiri? Kemudian, apakah perwatakan- perwatakan dan
keistimewaan-keistimewaan yang membezakan sistem akhlaq Islam daripada
sistem-sistem akhlaq lain yang telah dan masih mendapat keutamaan serta
sanjungan di dalam sejarah perkembangan akhlaq?
Jika kita bentangkan berbagai-bagai sistem akhlaq di dunia dengan tujuan untuk
mengkaji masalah ini, akan ternyatalah kepada kita sejak mula-mula lagi, bahawa
sistem-sistem itu berbeza di antara satu sama lain dalam soal memasukkan
bermacam-macam sifat tingkah laku ke dalam sistem masing-masing. Perbezaan
terdapat juga di antara sistem-sistem itu dalam soal menentukan batas dan
tempat penggunaan sifat-sifat tingkah laku itu serta cara mempersesuaikan di
antara sesamanya. Kemudian jika kita memandang dengan dalam dan teliti
kepada sistem-sistem itu, akan ketaralah bagi kita sebab perbezaan ini, iaitu,
bahawa sistem-sistem tersebut berselisih antara satu sama lain dalam
menetapkan norma kebaikan dan kejahatan pada tingkah laku manusia, juga
dalam menentukan saluran pengetahuan yang dapat diperbezakan dengannya di
antara baik dan jahat. Sistem-sistem itu tidak juga mencapai persetujuan dalam
menentukan kekuatan penggerak (sanction) yang bekerja di belakang undangundang
itu sehingga ianya punya kuasa di dalam diri orang. Lebih jauh lagi
sistem-sistem itu tidak sepakat dalam menentukan perasaan yang membawa
orang mematuhi dan mengawasi undang-undang. Kemudian jika kita berfikir
mencari sebab-sebab perselisihan ini, akan lahirlah kepada kita hakikat yang jelas,
bahawa yang menceraikan segala jalan sistem-sistem akhlaq ini seluruhnya dan
yang menjauhkan antara setengahnya dengan setengah, ialah kerana sistemsistem
ini berselisih dalam menggambarkan tentang apakah dia alam buana ini,
di manakah posisi akhlaq di dalam undang-undang alam yang luas ini, dan apakah matlamat hidup manusia di dalam alam.
Perselisihan inilah yang mempengaruhi sistem-sistem tersebut, dan daripadanyalah
timbul perselisihan- perselisihan yang pokok sehingga tentang haqikat,
tabiat dan kedudukan sistem-sistem itu. Bahawa persoalan-persoalan yang di
atasnya tegak asas penghidupan manusia dan persoalan-persoalan yang
menentukan aliran-aliran manusia di dalam penghidupan dunia ini ialah:
Adakah di sana Tuhan untuk alam ini atau tidak? Jika ada, maka adakah Dia
Tuhan yang satu (Esa) atau ada bersama-samanya tuhan-tuhan lain? Dan mana
satu di antara tuhan-tuhan itu yang kita percaya? Apakah sifat-sifat yang ada
padanya? Bagaimana hubungan kita dengannya? Apakah dia sudi membimbing
kita ke arah kebenaran dan memberi hidayat kepada kita atau tidak? Apakah kita
bertanggungjawab di hadapannya? Apakah yang diperhitungkan kepada kita
untuknya? Kemudian apakah matlamat hidup kita dan kesudahannya yang
harus kita letakkan di hadapan mata dan yang harus kita bekerja mengikut
kehendak-kehendaknya dalam penghidupan di dunia ini?
Ini semuanya merupakan persoalan-persoalan pokok dan penting, yang mana di
atas jawapannyalah terhentinya kelahiran sistem hidup manusia. Oleh itu sistem
akhlaq tidak lahir melainkan mengikut apa yang sesuai dengan haqikat jawapan
ini. Di dalam ceramah yang singkat ini tidaklah dapat saya bercakap panjang
lebar tentang berbagai-bagai sistem hidup yang ada di dunia ini dan menceritakan
kepada anda apa yang telah dipilih oleh tiap-tiap sistem itu untuk memberi
jawapan terhadap persoalan yang pokok ini, juga apakah kesan-kesan dan gejalagejala
yang dilahirkan oleh jawapan-jawapan itu terhadap bentuk persoalan ini
dan penentuan jalannya. Saya hanya bermaksud hendak bercakap tentang Islam
sahaja di antara sistem-sistem itu dan akan memberikan jawapan-jawapan yang
saya pilih untuk persoalan-persoalan tadi di samping menjelaskan sistem akhlaq
yang khusus iaitu sistem akhlaq yang tegak di atas asas jawapan-jawapan ini
serta menunaikan kehendak-kehendaknya.
Buat menjawab kepada persoalan-persoalan ini, Islam mengatakan: Bahawa
untuk alam ini ada satu Tuhan, dan tidak ada Tuhan selain Allah. Dialah yang
menciptakan mayapada ini dan mengadakan segala sesuatu di dalamnya. Dia
sahaja yang bertindak dalam hal-hal alam ini, tidak disertai oleh sesiapa pun. Dia
punya perintah dan larangannya. Dialah Tuhan segala langit dan bumi dan
Tuhan apa yang ada di dalam langit dan bumi itu. Sistem alam yang kita lihat
berjalan dengan teratur dan tetapnya ini tidak berjalan melainkan kerana tunduk
kepada perintah dan kehendakNya. Dia adalah Tuhan Yang Bijaksana, yang
Maha Berkuasa, mengetahui yang ghaib dan yang ternyata, tidak terlindung
daripadaNya sebesar zarah pun baik di langit mahu pun di bumi. Dia adalah
'al-malik' (raja) yang quddus, perintahNya berlaku di dalam alam ini dengan
kadar yang tertentu. Tidak pernah Dia penat dan lemah. Manusia adalah hamba
kepada Allah mengikut kejadian serta tabiat semulajadinya, Tugas manusia di
dunia ialah menyembah Allah dan mematuhi segala titah perintahNya. Hidupnya
tidak bererti jika tidak diserahkan sepenuhnya untuk beribadat kepada Allah
dengan ikhlasnya. Bukanlah tugas manusia menentukan sendiri satu methode
tertentu bagi ibadatnya, tetapi ianya ditentukan oleh Allah yang menciptanya
dan yang menjadikannya sebagai salah seorang dari hamba-hambanya. Allah
Subhanahu Wata'ala telah mengutuskan untuknya para Rasul dan diturunkan
pula bersama-sama mereka kitab-kitab untuk memberi hidayat serta
membimbing mereka ke jalan kebaikan dan kebahagiaan. Oleh yang demikian,
manusia tidak harus mengambil sistem hidupnya kecuali daripada pelita yang
terang benderang ini. Selain dari itu, manusia adalah bertanggungjawab di
hadapan Tuhannya terhadap apa yang telah diusaha dan diperolehinya di dalam
penghidupan dunia dan dia akan diadili di hadapan Allah, bukan di dunia ini,
tetapi di akhirat kelak. Penghidupan di dunia ini hanyalah merupakan dugaan
Tuhan terhadapnya. Manusia tidak harus meletakkan di hadapan matanya satu
matlamat yang dicari dan yang dicitakannya di dalam hidup ini melainkan
supaya dia tergolong di dalam golongan orang-orang yang berjaya di sisi
Tuhannya di dalam alam akhirat nanti. Manusia menempuh dugaan ini dengan
segala tenaga yang ada padanya; kerana ini adalah dugaan terhadap segala daya
dan bakatnya serta ujian segala segi penghidupannya. Dia akan diujikan dalam
segala apa yang diusaha dan dikerjakannya di dalam penghidupan dunia ini
dengan ujian yang bersih; tidak dinodai barang sedikit pun oleh kekotoran dunia
ini.
Lebih jauh lagi, ujian ini dijalankan sendiri oleh Tuhan yang mengetahui
segala-segalanya; Tuhan yang tidak terhenti ilmu dan ma'rifatnya - waktu mana
Dia merakamkan segala kerja dan gerak-geri manusia pada juzu'- juzu' alam ini
yang terdiri daripada tanah, air, angin, ruangan-ruangan angkasa, di dalam hati
manusia, fikirannya, tangan dan kakinya. Malah ilmu pengetahuannya meliputi
segala bisikan dan kemahuan yang terlintas di jiwa manusia, tidak ada sesuatu
pun yang terlindung daripadanya.
Inilah dia jawapan Islam tentang persoalan-persoalan hidup yang asasi, dan
inilah Islami terhadap alam serta posisi manusia di dalamnya. Dia menentukan
satu tujuan hakiki lagi luhur yang harus menjadi matlamat utama dari segala
usaha dan kerja manusia di dalam penghidupan dunia ini, iaitu 'menuntut wajah
Tuhan dan mencari keredhanNya'. Beginilah criterion (ukuran) yang diukurkan
dengannya setiap kerja manusia di dalam sistem akhlaq Islam dan dihukum
sama ada baik atau jahat. Selain dari itu, penentuan matlamat hidup ini
membekalkan akhlaq manusia dengan satu pusat di mana seluruh penghidupan
manusia berkisar di sekitarnya. Penghidupan itu tidak lagi akan menjadi seperti
kapal di tengah-tengah lautan yang dipukul badai serta diumbang-ambingkan
oleh gelombang ke kanan dan ke kiri. Penentuan ini juga meletakkan di hadapan
manusia satu tujuan hakiki yang membolehkannya selepas itu menentukan
batas-batas, kedudukan-kedudukan serta gambaran-gambaran praktikal yang
padan untuk tiap-tiap satu dari segala sifat tingkah laku di dalam penghidupan
ini. Oleh kerana ini juga manusia boleh mencapai nilai-nilai akhlaq (ethical values)
yang tersendiri, yang sampai sekarang masih berdiri dengan teguh di tempatnya,
tanpa berkesan dengan perubahan-perubahan suasana dan keadaan. Lebih jauh
dari itu - bila mana menuntut wajah Tuhan dan mencari keredhaanNya itu -
menentukan satu matlamat yang dicari oleh manusia dan satu tujuan bagi segala
usaha dan kerjanya, akhlaq manusia pun mendapat satu tujuan yang tinggi yang
membolehkannya mendaki ketinggian tingkah-laku setinggi-tingginya, tidak
dinodai buat selama-lamanya oleh daki-daki perhambaan diri kepada segala
tujuan dan kehendak nafsu dalam segala peringkat perjalanannya.
Seperti mana Islam memberi ni'mat kepada kita - kerana penggambarannya
terhadap alam dan manusia dengan kriteria ini - dia juga membekalkan kita
dalam waktu yang sama dengan satu saluran yang abadi untuk mengetahui baik
buruknya tingkah laku. Islam tidak sahaja membataskan pengetahuan kita
dengan akhlaq itu dalam lingkungan akal, kemahuan, percubaan atau ilmu-ilmu
kita terhadap akhlaq boleh berubah dengan berubahnya saluran-saluran yang
empat ini dan tidak tetap buat selama-lamanya. Tetapi Islam mengurniakan
kepada kita satu rujukan (reference) tetap yang membekalkan kita dengan
ajaran-ajaran pribudi dalam segala keadaan dan zaman. Rujukan itu ialah kitab
Allah (Al-Quran) dan Sunnah RasulNya Sallallahu 'alaihi Wasallam.
Ajaran-ajaran ini membimbing kita kepada jalan yang lurus dan menyuluh
langkah kita yang betul dalam segala soal hidup, dari masalah-masalah
rumahtangga yang sekecil-kecilnya membawa kepada masalah-masalah serta
problem-problem politik internasional yang besar-besar. Kita dapati di dalam
ajaran-ajaran ini ruangan yang luas, cukup untuk menjadi prinsip-prinsip akhlaq
dalam segala soal hidup. Kita tidak berkehendakkan lagi selepasnya kepada satu
saluran pengetahuan yang lain dalam segenap peringkat penghidupan.
Kemudian di dalam penggambaran Islam terhadap alam dan manusia ini, kita
dapati ada kekuatan pengontrol yang harus menjadi sandaran kepada
undang-undang akhlaq. Kekuatan itu ialah takut kepada Tuhan menyedari
tanggungjawab di hari akhirat serta takutkan akibat buruk di masa depan yang
abadi. Tidak syak lagi, bahawa Islam mahu menyediakan susunan masyarakat
dan fikiran orang ramai (public opinion) yang boleh membawa dan memaksa
orang dari segenap peringkat supaya mengikut serta terus menjaga prinsipprinsip
akhlaq. Begitu juga Islam mahu mendirikan satu sistem politik yang
mana melalui kuasanya. dapat dilaksanakan undang-undang akhlaq ini di
kalangan orang ramai dengan paksa, walaupun pada hakikatnya Islam tidak
bergantung kepada kuasa pengontrol yang luar ini seperti pergantungannya
kepada pengontrol dari dalam jiwa yang dipenuhi dengan keimanan dengan
Allah dan hari kemudian. Dari sana Islam hendak - sebelum dia memerintahkan
manusia supaya mengikat diri masing-masing dengan hukum-hukum akhlaq -
menakutkan manusia dan mengajarnya:
Islam menetapkan keimanan ini - keimanan dengan Allah dan hari kemudian - di
dalam hati manusia, seolah-olah dengan itu dia meletakkan di dalam perasaannya
seorang pengawas dari mata-mata akhlaq yang menggesanya bekerja dan
yang menyuruh dia mematuhi segala titah perintah Allah, tidak kira sama ada
terdapat mata-mata, mahkamah dan penjara di luar yang memaksanya berubat
demikian atau tidak. Pengawas dalam dan pengontrol jiwa inilah pada hakikatnya
yang menolong undang-undang akhlaq Islam dan yang menjadikannya
terlaksana di kalangan orang ramai, sungguhpun di samping itu sokongan
daripada pihak pemerintah dan fikiran umum menyenangkan lagi perlaksanaan
undang-undang ini. Hal ini tentunya lebih wajar dan lebih bijaksana. Tetapi pada
hakikatnya, keimanan ini sahaja pun sudah memadai untuk menjamin hidayat
dan umat Muslimin kepada jalan yang betul jika kemanisan keimanan itu telah
meresapi hati mereka dan jika aqidah ini sudah melekat dengan sebatinya di
dalam jiwa mereka.
Lebih jauh lagi, penggambaran Islam terhadap alam dan manusia ini, menyediakan
faktor-faktor yang menggalak dan memberansangkan seseorang supaya
bekerja mengikut apa yang dikehendaki oleh undang-undang akhlaq. Cukup
untuk mendorong seseorang untuk mematuhi kehendak-kehendak Allah dan
menjunjung titah perintahNya, bahawa dia menerima Allah sebagai Tuhannya,
bakti kepada Allah sebagai cara hidupnya dan keredaan Allah sebagai matlamat
hidupnya. Faktor lain yang kuat juga di samping faktor ini ialah keimanan
dengan hari kemudian serta kepercayaan bahawa orang yang mematuhi Allah
dan menurut segala titah perintahNya akan mendapat kebahagiaan di alam
akhirat yang kekal selama-lamanya. Dia akan mendapat kehidupan yang baik,
masa depan yang gemilang dan keni'matan yang abadi, sekali pun di dalam
dunia yang fana ini dia menanggung bermacam-macam kesakitan, kepedihan,
penderitaan dan kesengsaraan. Sedang orang yang menghabiskan usianya di
dalam dunia ini dengan mendurhakai Allah dan membelakangkan segala
perintahNya, nasibnya di akhirat pasti akan menemui ganjaran yang keras serta
siksa yang tidak akan habis-habis, sekalipun di dunia dia mengecap (beranika
kenikmatan dan kemewahan dari keenakan hidup). Harapan dan ketakutan ini,
jika terhimpun pada seorang manusia dan tertanam di dalam lubuk hatinya,
seolah-olahnya satu faktor yang kuat tumbuh di dasar nuraninya yang
menggalakkannya membuat kebaikan serta berpegang dengan kebenaran dalam
waktu-waktu dan keadaan-keadaan yang barangkali ternyata kepadanya bahawa
berpegang dengan kebenaran boleh memberi kerugian tertentu terhadap
kepentingannya di dalam hidup ini. Begitu juga faktor kejiwaan ini boleh
menjaganya daripada kecenderungan-kecenderungan jahat dan juga menjauhkan
-nya daripada perkara-perkara curang dan jahat dalam keadaan- keadaan yang
ternyata kepadanya bahawa kejahatan merupakan kelazatan untuk nafsu dan
keuntungan di dalam penghidupan dunia ini.Apa yang jelas dari huraian ini
ialah, bahawa Islam mempunyai penggambaraan yang tersendiri terhadap alam
ini seperti mana ianya juga mempunyai criterion tersendiri terhadap kejahatan
dan kebaikan. Islam juga mempunyai rujukan bagi ilmu akhlak berserta satu
kekuatan penggerak dan faktor pendorong kerja yang khusus. Di dalam masalah
ini, Islam memilih satu jalan yang lain daripada jalan-jalan yang dipilih oleh
segala sistem akhlaq di dunia ini. Dengan pertolongan faktor-faktor ini sendiri,
lahirlah bahan-bahan budi pekerti yang terma'lum itu mengikut kadar-kadar
yang tertentu dan dilaksanakan di dalam segenap bahagian dan lapangan hidup.
Lantaran itu, berhaklah kita mengatakan, bahawa Islam mempunyai satu sistem
akhlaq yang sempurna dan sesuai buat selama-lamanya dengan tabiat dan
ajaran-ajarannya.

0 comments:

Post a Comment