Cara Hidup Islam Part 1
KONSEP HIDUP ISLAM
Ciri utama dari Din Al-Islam ialah ia tidak membenarkan sesuatu pertentangan,
juga pemisahan yang ketara antara kehidupan kerohanian dan kehidupan dunia.
Islam tidak sekadar membataskan dirinya untuk membina ketinggian kerohanian
dan akhlaq semata-mata. Ruang lingkup peraturan yang dikemukakannya
mencakupi segenap bidang kehidupan insan. la hendak melahirkan bukan sahaja
ketertiban hidup diri perseorangan malah ketertiban hidup masyarakat manusia
seluruhnya ke dalam pola-pola yang sihat dan bersih sehingga Kerajaan Allah
dibangunkan dalam bentuk kenyataan di atas muka ini. Dengan demikian
keamanan, kebahagiaan dan kemakmuran akan memenuhi segenap pelusuk
muka bumi dan saujana samudera.
Cara hidup Islam didasarkan atas satu pendekatan yang unik kemas serta
mantap dan ia merupakan konsep istimewa tentang kedudukan insan dalam
alam semesta ini. Itulah sebabnya mengapa perlunya kita memahami terlebih
dahulu Tasawwur lslami (konsepsi hidup menurut ajaran Islam) sebelum kita
menangani atau membincangkan persoalan ini, masyarakat, politik dan ekonomi
dari kacamata Islam.
Langkah permulaan menuju perbincangan persoalan-persoalan yang disebutkan
di atas harus dimulai dengan memahami dan menghargai beberapa kaedah dasar.
Kaedah-kaedah tersebut adalah seperti berikut:
QA'IDAH-QA’IDAH DASAR
Allah Rabul 'Alamin - Dialah Pencipta. Penguasa dan Pemilik alam semesta,
mencipta manusia dan menyediakan baginya tempat tinggal sementara di suatu
tempat dari alam jagatnya yang luas yang dikenali sebagai bumi. Dia telah
mengurniakan kepada manusia alat-alat berfikir dan memahami serta telah
mengurniakan kemampuan membezakan antara yang Haq dengan yang Bathil.
Manusia juga telah diberikan kebebasan dengan daya ikhtiar dan hak memilih
malah ia juga diberikan kuasa untuk menggunakan sumber-sumber alam
mengikut cara yang disukainya. Secara ringkas dapatlah dikatakan bahawa
manusia telah diberikan satu kuasa autonomi di samping tugas kekhalifahan
yang telah diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepadanya (untuk
menjaga dan memelihara muka bumi ini).
Sebelum mengamanahkan tugas kekhalifahan di atas muka bumi ini kepada
manusia, Allah Subhanahu Wata'ala telah menjelaskan kepada manusia bahawa
Dialah satu-satunya Pemilik, Penguasa dan Tuhan kepada alam ini. Dengan
demikian seluruh isi alam dan segala ciptaan di dalamnya (termasuk manusia)
wajib tunduk patuh hanya kepada Dia sahaja. Manusia mestilah tidak
memikirkan bahawa dirinya bebas tanpa sebarang peraturan dan dia sepatutnya
tahu bahawa tempatnya di atas muka bumi ini bukanlah tempat yang kekal abadi
baginya. Ia ditetapkan untuk tinggal di atas muka bumi hanya bagi suatu tempoh
percubaan yang telah ditetapkan, dan kelak bila tepat tiba pada masanya ia
dikembalikan kepada Pemiliknya untuk diadili sesuai dengan cara mana ia telah
melaksanakan amanahnya dalam jangka waktu percubaan yang telah di
alaminya.
Satu-satunya jalan yang benar untuk manusia ialah dengan mengakui bahawa
Allah Subhanahu Wata'ala satu-satunya Tuhan dan Pemilik dan kepada petunjuk
dan arahannya sahajalah manusia patut mengikutinya di dalam membina
kehidupan. Manusia haruslah menyedari bahawa kehidupannya nanti akan
diadili dan satu-satunya tujuan hidupnya ialah untuk mencapai
MARDATILLAH (keredhaan Allah) bagi membolehkannya layak menerima
balasan baik di Hari Akhirat. Sebarang sikap dan haluan yang bertentangan
dengan perkara di atas akan membawa manusia kepada kesesatan dan
kemusnahan. Sekiranya manusia mengikuti jalan yang baik, dan taqwa (yang ia
adalah bebas untuk memilih dan mengikutinya) nescaya ia akan mendapati
kejayaan di dunia dan di akhirat. Di dunia dia akan beroleh kehidupan yang
aman damai dan puas manakala di akhirat nanti ia merupakan orang yang layak
menerima balasan Syurga Allah (Al Jannah). Dan jika ia memilih jalan yang lain
menafikan dengan peraturan-peraturan Tuhan dan jalan yang jahat (juga
merupakan jalan yang ia bebas memilih dan mengikutinya) nescaya kehidupan
dunianya menjadi kehidupan yang penuh dengan penyelewengan, penipuan,
kefasiqan dan kekecewaan manakala di Akhirat nanti ia ditimpa bala derita, siksa
kepedihan dan rintihan penyesalan yang tidak berpangkal di dalam neraka
Jahim.
Sesudah memberikan peringatan ini, Allah Subhanahu Wata'ala telah
menempatkan manusia di atas muka bumi dan menyediakan manusia yang
pertama (iaitu Nabi Allah Adam dan Sayyidatina Hawa) dengan PimpinanNya
dan manusia mesti menjalani kehidupan di atas muka bumi ini berpandukan
ketentuan dan peraturan yang telah ditetapkanNya. Dengan demikian
kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak dimulai dengan keadaan gelap
gulita.
Manusia yang pertama itu telah disediakan dengan sinar cahaya yang terang
benderang dan Hidayah bimbingan yang membolehkan manusia mencapai
kehidupan yang gilang-gemilang. Manusia yang pertama (iaitu Nabi Adam
'Alaihissalam) menerima Ilmu Tanzil dari Allah sendiri. Baginda mempunyai
ilmu tentang hakikat dan telah diberikan pula peraturan hidup yang apabila
dipatuhi ia akan mencapai serta menikmati kehidupan yang diredhai dan berjaya.
Peraturan ini ialah Islam, satu sikap tunduk patuh secara menyeluruh kepada
Allah, Dialah Pencipta manusia dan seluruh alam jagat ini. Agama inilah agama
Nabi Allah Adam 'Alaihissalam, manusia pertama yang kemudiannya
mewariskan kepada zuriat keturunannya.
Tetapi generasi-generasi kemudiannya secara beransur-ansur telah menyeleweng
serta menyimpang dari jalan yang benar dan mula mengambil jalan-jalan dari
suara-suara yang salah dan palsu. Disebabkan oleh kelalaian mereka sendiri,
mereka telah kehilangan ajaran-ajaran asli, atau kerana kebodohan atau kejahilan,
mereka telah memalsukan dan memutarbelitkan ajaran-ajaran tersebut. Mereka
menyekutukan (syirik) Allah Subhanahu Wata'ala dengan manusia,
makhluk-makhluk yang tidak bernyawa dan benda-benda khayalan mereka yang
tidak terkira itu sebagai tuhan-tuhan dan dewa-dewa dan telah memasukkannya
dalam bentuk syirik yang paling buruk dan jelek.
Mereka telah mencampuradukkan ajaran-ajaran suci dari Allah dengan
dongengan-dongengan, fikiran-fikiran dan falsafah-falsafah yang akhirnya
menghasilkan belantara agama (bermaksud banyak agama) dan budaya. Mereka
telah membelakangkan prinsip-prinsip etika sosial dan akhlaq jama’ah yang
diberikan oleh Allah, iaitu Shari'at dan mengecewakan hidup manusia dari
kebahagiaan dan kedamaian.
Sekalipun manusia telah tersisih dari landasan kebenaran, mengabaikan dan
memutarbelitkan SYARI'AT, malah terdapat sebahagian dari mereka yang
memberontak terhadap peraturan-peraturan Ilahi. Namun begitu Allah tetap
tidak membinasakan mereka atau memaksa mereka kepada jalan yang benar.
Paksaan untuk mereka menerima jalan yang benar tentu sekali tidak serasi
dengan autonomi yang telah Allah berikan kepada manusia. Sebaliknya Allah
telah mengangkat orang-orang mulia yang tertentu dari kalangan mereka untuk
memikul tanggungjawab memanggil semula dan membimbing manusia ke jalan
kebenaran selagi mereka itu masih memenuhi ruang muka bumi ini. Mereka ini
adalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hidup mereka merupakan
hidup yang penuh ketaatan kepadaNya. Allah telah memuliakan mereka dengan
wahyuNya dan memberikan mereka ilmu tentang Hakikat. Mereka ini dikenali
sebagai Nabi-Nabi (Sallallahu 'alaihim Ajma'in) yang telah diberikan tugas
menyampaikan Risalah kebenaran kepada manusia dan menyeru manusia
supaya mengikuti jalan Allah Subhanahu Wata’ala.
Nabi-Nabi ini dibangkitkan di segala zaman, di segala negeri dan di dalam semua
bangsa. Bilangan mereka melebihi ribuan orang. Mereka semuanya membawa
risalah yang sama, mengutarakan cara hidup yang sama (Din) - iaitu cara yang
ditanzilkan kepada manusia sejak hari pertama kewujudan. Mereka semuanya
mengikuti petunjuk (Hidayah) yang sama: petunjuk yang dikurniakan oleh Allah
untuk manusia sejak hari pertama kehidupannya di atas muka bumi. Mereka
semuanya berjuang untuk risalah yang sama; mereka menyeru manusia kepada
Agama Islam, meminta mereka yang telah menerima petunjuk Allah supaya
menjalani kehidupan mengikut peraturan-peraturan Allah dan berusaha
membawa mereka di dalam satu jama'ah gerakan untuk menegakkan
undang-undang Allah dan mengakhiri penyelewengan-penyelewengan dari
jalan kebenaran.
Setiap Nabi telah berusaha memenuhi tuntutan risalah ini dengan cara yang
sebaik mungkin. Tetapi sebilangan manusia yang tidak kecil jumlahnya tidak
sekali-kali menerima petunjuk mereka dan ramai dari mereka yang menerimanya
pula, secara beransur-ansur sesat menyimpang selepas masa yang panjang
berlaku. Mereka kehilangan petunjuk atau memutar-belitkannya dengan
memasukkan perkara-perkara baru dan penyelewengan-penyelewengan.
Akhirnya Allah membangkitkan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihi Wasallam di
tanah Arab dan mengamanahkan kepada Baginda untuk menyempurnakan
Risalah yang pernah diperintahkan kepada Nabi-Nabi sebelumnya. Risalah Nabi
Muhammad ini adalah untuk seluruh manusia. Baginda mengemukakan kembali
ajaran-ajaran Islam dalam bentuknya yang asal dan sekali lagi memberikan
"Pedoman Hidup" dari Allah yang mereka telah kehilangannya dalam bentuknya
yang asal.
Baginda telah mengumpulkan seluruh mereka yang telah menerima risalahnya
ke dalam satu UMMAH yang bertanggungjawab membangunkan kembali
kehidupan mereka sejajar dengan Islam dengan cara menyeru manusia kembali
ke jalan kebenaran dan untuk menegakkan Kalimatullah sebagai kuasa tertinggi
di atas muka bumi ini. "Pedoman Hidup" ini telah termaktub di dalam kitab suci
Al Quran yang merupakan satu-satunya peraturan hidup yang benar bagi umat
manusia.
0 comments:
Post a Comment