Cara Hidup Islam Part 3

 

MANHAJ HIDUP

Perbahasan di atas memperlihatkan dengan jelas bahawa Islam memulakan
manhajNya dengan meletakkan garis-garis panduan yang tersusun rapi dan di
atasnyalah hubungan manusia dengan Pemiliknya diwujudkan; seluruh
kehidupan diri perseorangan dan masyarakat merupakan pelaksana dalam
membina dan memperkukuhkan hubungan ini. IMAN merupakan titik-tolak
kepada Agama (Ad Din) kita, terangkan di dalam penerimaan hubungan ini oleh
akal dan kehendak manusia dan Islam adalah sebenar-benar kepatuhan dan
pengabdian, (yaitu) satu-satunya cara penyerahan kepada Allah Subhanahu
Wata'ala bagi seluruh aspek kehidupan dan tabiat.
Sekarang kita telah berada di atas kedudukan yang dapat meninjau pandangan
dan manhaj hidup yang dituntut Islam. Manhaj hidup ini - peraturan-peraturan
dalam tindak-tanduk - dikenali sebagai SYARI'AT. Sumber-sumber Syari'at pula
ialah Al Quran Al Karim dan Sunnah Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam.
Kitab Allah yang terakhir dan RasulNya yang penyudah sedang tegak berdiri
sebagai khazanah kepada kebenaran itu dan kedua-duanya mengundang
manusia seluruhnya agar menerima kebenaran. Allah Yang Maha Berkuasa telah
menganugerahkan manusia dengan IKHTIAR atau kebebasan melaksanakan
kehendaknya dalam bidang akhlaq dan dalam hubungan IKHTIAR inilah yang
dikaitkan dengan maksud menerima kebenaran (yakni manusia bebas memilih
kebenaran atau kekafiran kerana kedua-dua mempunyai perbezaan yang jelas).
Dengan demikian penerimaan (kebenaran) adalah atas dasar rela menerima dan
bukan paksaan.
Sesiapa saja yang bersetuju menerima (dengan ikhlas hati) Konsep Hakikat yang
dibawa oleh Rasulullah dan termaktub dalam Kitab Suci Al Quran itu sebagai
benar, maka wajar baginya untuk mara ke hadapan dan menundukkan kehendak
dirinya kepada kehendak dan tuntutan Allah. Penyerahan tunduk patuh inilah
yang dinamakan ISLAM, pancaran dan pembuktian dari IMAN dalam
kehidupan 'amaliyyah dan barang siapa yang berbuat demikian - yakni sesiapa
yang mengikhlaskan dirinya menerima Allah sebagai Pemerintah Tertinggi dan
tunduk patuh kepada kehendakNya yang mulia (kerana manusia wajib
memuliakan kehendak dan peraturan Allah) serta berusaha menyusun atur kehidupan
mereka selaras dengan tuntutan-tuntutan Allah Subhanahu Wata'ala
dan itulah golongan yang digelar Muslim dan Muslimin.
Semua mereka yang tunduk patuh kepada kehendak Allah dengan cara demikian
(secara tidak langsung) menwujudkan satu masyarakat (yang mempunyai
keseragaman dalam asas-asas bertindak) dan dengan cara inilah 'Masyarakat
Islam' terbentuk. Demikianlah caranya satu masyarakat yang tegak atas dasar
'AQIDAH - satu masyarakat yang wujudnya berbeza sekali dari masyarakat yang
diasaskan atas dasar keta'suban bangsa, warna kulit atau sempadan kenegerian.
Masyarakat Islam adalah wujud hasil dari kebebasan memilik dan kemampuan
penglibatan anggota-anggotanya: Inilah hasil (Ikatan setia yang terjadi antara
manusia dengan Penciptanya Yang Maha Agung. Sesiapa saja yang memasuki
'Perikatan Setia' ini telah mengambil tanggungjawab mengakui Allah
'Azzawajalla sebagai Pemerintah Tertinggi mereka, pimpinanNya sebagai
pemimpin yang paling tinggi bagi mereka dan ajaran-ajaranNya sebagai
hukum-hukum yang mutlak untuk mereka. Mereka juga telah mengambil tanggungjawab
untuk menerima tanpa sebarang soal dan syak meragui tentang
pembahagian baik atau buruk, benar atau salah, dibenarkan (diharuskan) atau
diharamkan, yang telah ditetapkan olehNya.
Dengan kata-kata yang ringkas dapatlah dikatakan 'Masyarakat Islam' adalah
masyarakat yang bersetuju secara sukarela untuk membataskan
kehendak-kehendak mereka sebagai yang telah ditetapkan oleh Allah, Tuhan
Yang Pengetahuan meliputi segala sesuatu. Atau dengan lain perkataan, Iradah
Allah merupakan sumber perundangan yang utama dan bukan manusia itu
sendiri dalam sebuah 'Masyarakat Muslim'.
Apabila masyarakat tersebut muncul menjadi kenyataan, Al Quran dan
Rasulullah telah menetapkan bagi masyarakat ini satu peraturan hidup yang
dinamakan 'Syari'at' dan masyarakat ini dituntut patuh kepadaNya kerana
sebelumnya mereka telah terlibat dalam perikatan setia dengan Allah. Oleh yang
demikian tidaklah dapat dibayangkan bagaimana sesuatu masyarakat Muslim
yang telah memakai gelaran nama yang mulia itu boleh dengan bebas menerima
dan menyesuaikan satu sistem hidup yang lain bagi menggantikan Syari'at yang
telah dikhaskan untuk mereka. Jika terjadi demikian, 'janji setia' mereka dengan
sendirinya (ipso facto) terurai atau terbatal dan seluruh masyarakat tidak lagi
bersifat Islam (La Islamiyyah).
Namun demikian kita mestilah dengan jelas membezakan antara dosa-dosa dan
pelanggaran yang dilakukan oleh individu dengan perlanggaran-perlanggaran
dan penderhakaan yang menyanggah syariah. Yang pertama tidaklah membawa
maksud pembatalan 'ikatan setia' tetapi yang kedua sudah pasti tidak lari dari
maksud yang satu itu (iaitu terbatallah 'ikatan setia' itu). Satu perkara yang mesti
difahami dengan jelas di sini ialah jika masyarakat Islam secara sedar
memutuskan untuk menolak Syari'at dan membuat perlembagaan dan
undang-undangnya sendiri atau meminjamnya dari sumber-sumber yang lain
dengan menolak sama sekali Syari'at, masyarakat itu telah merobohkan ikatan
setia mereka dengan Allah dan telah melepaskan hak mereka untuk digelar
sebagai Islamiyyah atau bersifat Islam.

TUJUAN-TUJUAN DAN SIFAT-SIFAT MANHAJ HIDUP ISLAM

Sekarang kita pergi ke perbincangan seterusnya untuk memahami Manhaj hidup
sebagaimana yang telah dituntut oleh Syari'at. Untuk memahaminya terlebih
dahulu kita perlu memahami dengan jelas terhadap tujuan-tujuan dan
dasar-dasar Syari'at.
Tujuan utama Syari'at ialah untuk membentuk kehidupan manusia atas dasar
Ma'rufat (nilai-nilai kebajikan dan kemuliaan) dan menghindari dari yang
mungkar (perkara-perkara yang mendatangkan dosa dan kerosakan). Istilah
Ma'rufat di dalamnya terangkum segala maksud nilai-nilai kebajikan, kemuliaan
dan taraf yang tinggi yang merupakan nilai-nilai yang diakui baik dan mulia oleh
manusia. Sebaliknya, kalimat Munkarat merangkumi segala maksud dosa dan
kejahatan yang senantiasa dikutuk dan dibenci oleh manusia sebagai kejahatan.
Ringkasnya Ma'rufat adalah nilai-nilai atau perkara-perkara yang serasi dengan
tabi'ie dan keperluan manusia keseluruhannya manakala Munkarat adalah
hal-hal yang berlawanan. Syari'at telah memberikan satu gambaran yang terang
dan jelas tentang Ma'rufat dan Munkarat dan telah menetapkannya sebagai nilai
susila yang wajib dipatuhi oleh individu mahupun masyarakat.
Namun demikian Syari'at tidak pula membataskan peranannya sekadar untuk
menyediakan kita senarai kebajikan-kebajikan dan kejahatan-kejahatan sahaja; ia
meletakkan (garis-garis dasar) bagi seluruh skema kehidupan manusia demikian
rupa sehingga kebajikan-kebajikan dapat berkembang dengan sihat dan
kejahatan-kejahatan tidak ada kesempatan untuk mencemari dan memusnahkan
kehidupan manusia.
Untuk mencapai tujuan ini, Syari'at telah memasukkan ke dalam Manhajnya
semua faktor-faktor yang menggalakkan pertumbuhan perkara-perkara yang
baik dan mengajukan pula langkah-langkah yang perlu diambil untuk
menghadapi dan membolosi rintangan-rintangan yang boleh menghalang
pertumbuhan dan pembangunan. Proses ini menimbulkan satu lagi siri Ma'rufat
yang mengandungi sebab-sebab dan cara-cara menumbuhkan dan memupuk
kebaikan dan satu lagi siri Ma'rufat yang mengandungi perintah-perintah
larangan dalam hubungannya dengan perkara tertentu yang bertindak sebagai
pelindung dan rintangan- rintangan bagi kebajikan itu. Begitu juga terdapat satu
senarai Munkarat yang memungkinkan tercetus dan berkembangnya kejahatan.
Syari'at membentuk masyarakat Islam dengan satu cara yang dapat membawa
pertumbuhan yang lancar bagi kebajikan, kebaikan dan kebenaran dalam setiap
lapangan kegiatan manusia dan memberikan kebebasan penuh kepada kekuatan
kebajikan untuk bergerak dari segenap sudut. Di waktu yang sama ia merubah
dan menjungkir semua bentuk rintangan yang menghalang jalan menuju
kebajikan itu. Bersama-sama dengan ini, ia berusaha untuk menghapus kejahatan
-kejahatan dari hidup masyarakatnya dengan cara melarang kejahatan- kejahatan;
membuang sebab-sebab yang menimbulkannya; menutup lubang-lubang yang
menjadi saluran penularan masuk ancaman dan mengambil tindakan
mengancam supaya terhindar kejahatan yang tidak diingini.

0 comments:

Post a Comment